Pemandu warga Taiwan positif tiga jenis dadah selepas rempuh anggota trafik

SEORANG pemandu warga Taiwan yang dipercayai merempuh anggota polis trafik di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur baru-baru ini, didapati positif tiga jenis dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya.

Lelaki berusia 52 tahun itu disyaki berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian kira-kira jam 8.50 malam Sabtu lalu, yang menyebabkan anggota Unit Motoked Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berusia 42 tahun cedera pada tangan dan kaki.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas iringan.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek yang dalam perjalanan dari Ampang menghala ke Brickfields merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.

“Suspek cuba melarikan diri selepas kemalangan itu, namun berjaya ditahan oleh anggota Unit Motoked JSPT Kuala Lumpur.

“Ujian pernafasan mendapati suspek bebas daripada pengaruh alkohol dengan bacaan sifar miligram, tetapi saringan air kencing menunjukkan dia positif metamphetamine, ketamin dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan lelaki itu turut menemukan satu bungkusan mengandungi pil disyaki dadah jenis ekstasi.

Beliau berkata, mahkamah kelmarin membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan polis memperoleh arahan untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Trafik esok.

“Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) APJ 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

“Selain itu, suspek turut berdepan pertuduhan berkaitan kesalahan dadah mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan kes dadah dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Dang Wangi,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here