Gambar lama kemenangan Permatang Pauh sentuh hati Anwar

SEKEPING gambar lama yang merakamkan detik kemenangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982 mengundang rasa terharu Perdana Menteri apabila diterimanya daripada seorang pelajar, hari ini.

Gambar berkenaan disampaikan oleh Zahra Mohamad Zelman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di Alor Setar ketika beliau bersama rakan-rakannya bertemu Anwar di Parlimen.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, gambar itu merakamkan detik beliau diraikan oleh moyang Zahra, Allahyarham Arshad Ahmad selepas memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

GAMBAR kemenangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada tahun 1982. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Sekeping gambar, tetapi menyimpan begitu banyak kenangan dan kisah. Waktu yang cuba diimbau itu sudah lama berlalu, namun ingatan terhadap insan-insan serta kalangan mereka yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perjuangan kekal di sanubari yang terdalam,” kata Perdana Menteri dalam hantaran itu .

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menitipkan pesanan kepada Zahra dan rakan-rakannya supaya terus menuntut ilmu, berani menyimpan serta mengejar cita-cita dan tidak mudah berputus asa.

Beliau turut mendoakan agar perjalanan kehidupan mereka sentiasa dipermudahkan.

“Kepada Zahra dan rakan-rakan, pesan saya untuk teruskan belajar dan kuasai ilmu, mesti berani menyimpan dan mengejar cita-cita dan jangan pernah berhenti berusaha. Saya mendoakan agar perjalanan kalian sentiasa dipermudah dan masa depan terbentang dengan penuh harapan yang bergemerlapan,” kata beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here