KEPUTUSAN memberhentikan pekerja merupakan satu tindakan yang serius dan sepatutnya menjadi pilihan terakhir sesebuah organisasi media, kata Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff
Katanya, industri media sedang berhadapan dengan perubahan struktur perniagaan yang besar, khususnya peralihan daripada media cetak kepada platform digital, pengurangan pendapatan pengiklanan dan perubahan corak penggunaan berita dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun kata beliau, masalah kewangan dan tekanan perniagaan tidak seharusnya diselesaikan dengan meletakkan keseluruhan beban kepada pekerja.
‘’Pekerja bukan sekadar sumber tenaga kerja, tetapi merupakan aset penting yang membina reputasi, kredibiliti dan kelangsungan sesebuah organisasi media,’’ katanya kepada utusanmelayuplus.
Syed Sagil Alsagoff berkata, dalam konteks Utusan Malaysia dan Kosmo!, wartawan, editor, jurugambar, kakitangan produksi dan pekerja sokongan telah menyumbang kepada pembinaan jenama serta sejarah kedua-dua akhbar tersebut.
Oleh itu, kata beliau sebarang keputusan pemberhentian perlu mengambil kira kesan sosial dan ekonomi terhadap pekerja serta keluarga mereka.
”Saya berpandangan bahawa syarikat media perlu terlebih dahulu meneliti alternatif seperti penstrukturan semula operasi, pengurangan kos bukan teras, latihan semula pekerja dan penempatan semula ke bahagian digital.
‘’Pemberhentian secara besar-besaran tanpa usaha mitigasi yang mencukupi bukan sahaja menjejaskan kebajikan pekerja, malah boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap organisasi media itu sendiri,’’ katanya.
Beliau berkata, kebajikan pekerja merupakan tanggungjawab asas majikan dan tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan dalam pengurusan sesebuah syarikat media.
‘’Walaupun syarikat mempunyai hak untuk melakukan penstrukturan semula bagi memastikan kelangsungan perniagaan, hak tersebut perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab terhadap pekerja.
‘’Sekiranya pemberhentian tidak dapat dielakkan, pembayaran pampasan yang sewajarnya, notis penamatan yang jelas dan pematuhan kepada undang-undang pekerjaan perlu diberikan perhatian utama,’’ katanya.
Selain itu, beliau berkata, majikan juga perlu memastikan semua bayaran yang menjadi hak pekerja diselesaikan secara telus dan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Dalam konteks ini, kata beliau, pampasan bukan sekadar soal kewangan, tetapi mencerminkan nilai etika dan tanggungjawab sosial korporat sesebuah organisasi.
‘’Pekerja yang kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba berhadapan dengan ketidakpastian kewangan, komitmen keluarga dan kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu, khususnya dalam industri media yang turut mengalami pengecilan pasaran kerja,’’ katanya.
Beliau juga berpendapat, syarikat media wajar menyediakan bantuan peralihan kerjaya, termasuk khidmat kaunseling, surat pengesahan pengalaman, latihan kemahiran digital dan sokongan mencari pekerjaan baharu.
‘’Keuntungan syarikat tidak sepatutnya dibina dengan mengabaikan maruah dan hak pekerja. Sebuah organisasi media yang bertanggungjawab bukan hanya dinilai berdasarkan prestasi kewangannya, tetapi juga berdasarkan cara organisasi tersebut melayan pekerja ketika menghadapi krisis.
‘’Saya melihat isu ini perlu dianalisis daripada sudut perubahan struktur pemilikan, model perniagaan dan kedudukan industri akhbar Melayu dalam landskap media semasa,’’ katanya.
Syed Agil Alsagoff berkata, pada era terdahulu, Utusan mempunyai kedudukan yang agak berbeza kerana ia bukan sekadar sebuah organisasi perniagaan media, tetapi turut memainkan peranan sebagai institusi yang membentuk pemikiran, identiti dan suara masyarakat Melayu.
‘’Pemilik perlu mempunyai pelan strategik yang menerangkan bagaimana Utusan Malaysia dan Kosmo! akan terus beroperasi dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
‘’Pelan tersebut perlu merangkumi strategi digital, pembangunan bakat, pelaburan teknologi, kedudukan editorial dan kebajikan pekerja. Pada akhirnya, saya berpendapat bahawa kejayaan menyelamatkan sesebuah organisasi media tidak boleh diukur berdasarkan sama ada nama akhbar itu masih diterbitkan atau tidak.
‘’Kita juga perlu melihat sama ada organisasi tersebut masih mampu mengekalkan kualiti kewartawanan, menyediakan peluang pekerjaan yang bermaruah dan menjalankan tanggungjawabnya kepada masyarakat,’’ katanya.
Beliau menegaskan, legasi sesebuah akhbar bukan hanya terletak pada jenamanya yang terus hidup, tetapi juga pada manusia yang membina, mengembangkan dan mempertahankan kredibilitinya selama ini.





