PEMBANGUNAN bandar di negara ini perlu berpaksikan nilai kemanusiaan dan kebajikan rakyat, bukannya hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan indah serta penyediaan infrastruktur moden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan bandar sewajarnya mengambil kira kehidupan masyarakat sekeliling, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan perhatian.

Menurutnya, pembangunan sesebuah bandar bukan sekadar melibatkan kecekapan perancangan fizikal, sebaliknya turut berkait dengan kehidupan manusia, keyakinan agama, nilai serta pembentukan akhlak.
Beliau berkata, prinsip itu selari dengan pemikiran tokoh sarjana Islam, Abdul Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun yang melihat bandar sebagai pusat perkembangan tamadun, pendidikan dan kemudahan masyarakat.
“Ibn Khaldun mengakui tamadun manusia selalunya bermula dan berkembang dari kota yang menjadi pusat pendidikan serta kemudahan terbaik, sekali gus menarik golongan pintar.
“Pembinaan bandar perlu bermula dengan semangat kekitaan dan perpaduan yang mampu mengangkat martabat rakyat, membina negara serta tamadun yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 dan Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN) serta Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di Petaling Jaya hari ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Anwar dalam pada itu mengingatkan bahawa idealisme asal pembangunan sesebuah bandar boleh terhakis apabila generasi seterusnya dikuasai kerakusan kuasa, ketamakan, nafsu serakah dan rasuah.
“Kata-kata ini bukan daripada saya tetapi saya petik daripada teori Ibn Khaldun,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan bandar juga perlu memberi perhatian kepada kemudahan asas dan ruang ekonomi kecil yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat.
Katanya, perumahan rakyat, gerai, warung dan restoran kecil tidak seharusnya dipinggirkan hanya kerana tumpuan lebih diberikan kepada pembangunan berskala besar.
“Jika dilihat, 80 peratus rakyat mengunjungi gerai, warung dan restoran kecil, namun perhatian kita hanya 20 peratus diberikan kepada golongan berkenaan.
“Konsep Malaysia MADANI perlu mengimbangi usaha mencapai kemajuan dengan tanggungjawab memastikan pembangunan terus berpaksikan nilai kemanusiaan,” katanya.





