Belanjawan Selangor 2027: Ini tujuh struktur perlu diberi perhatian  – Pemuda Pas

 

Oleh Mohamed Sukri Omar

PEMUDA Pas Selangor komited untuk meneruskan agenda Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) dengan menjadi kumpulan semak dan imbang yang konstruktif kepada kerajaan negeri Selangor pada hari ini.

Sejak 2017, Pas telah memperkenalkan satu dokumen pelan jangka masa panjang mengenai ekonomi dan pentadbiran negara iaitu Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 dan pada masa yang sama Pas Selangor telah membangunkan EHSAN 2030 sebagai tawaran kepada rakyat negeri Selangor.

Bersempena dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2027, Pemuda Pas Selangor ingin menarik perhatian kerajaan negeri kepada tujuh isu struktur seperti berikut.

Pertama: Rumah Mampu Milik

Pasaran hartanah Selangor berdepan dengan krisis kemampuan milik kediaman yang kronik.

Data menunjukkan nisbah harga rumah median berbanding pendapatan median di Selangor telah mencapai 5.8 kali ganda, meletakkan Selangor dalam kategori Seriously Unaffordable (sangat tidak mampu milik) mengikut standard antarabangsa.

Lambakan unit kediaman siap dibina yang tidak terjual (property overhang) mengikut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) membuktikan rumah berharga RM300,000 yang dilabel “mampu milik” sebenarnya gagal dibeli oleh golongan B40 dan M40.

Pemuda Pas Selangor menuntut kerajaan negeri meningkatkan peruntukan pembangunan skim perumahan mampu milik secara drastik, menurunkan siling harga rumah mampu milik untuk pembeli rumah pertama, serta meluaskan skim Rent-to-Own (sewa beli) tajaan kerajaan negeri bagi membantu anak muda mengatasi birokrasi
pinjaman bank yang ketat.

Kedua: Pengharaman vape (rokok elektronik)

Gejala penggunaan vape dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah di Selangor sudah berada pada tahap yang membimbangkan.

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendedahkan penggunaan vape dalam kalangan remaja berumur 13–17 tahun di Malaysia melonjak drastik daripada 9.8% kepada 14.9%. Lambakan premis jualan vape berhampiran institusi pendidikan dan kawasan perumahan bandar di Selangor mengancam masa depan anak muda negeri ini.

Pemuda Pas Selangor sekali lagi ingin mendesak kerajaan negeri menggunakan kuasa PBT sepenuhnya bagi mengharamkan pelesenan premis jualan vape secara tegas dan komprehensif sebagaimana yang telah dilaksanakan di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.

Ketiga: Pengurusan banjir tidak cekap

Laporan Khas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan Selangor secara konsisten merekodkan kerugian ekonomi yang tinggi akibat bencana banjir. Kegagalan sistem infrastruktur saliran lama dan kelambatan projek mitigasi menyebabkan rakyat terus menanggung kerugian harta benda mencecah ratusan juta ringgit setahun.

Pemuda Pas Selangor mendesak agar Kerajaan Negeri Selangor juga turut memberikan perhatian kepada kawasan-kawasan tumpuan banjir kilat yang sering berlaku secara kerap di negeri Selangor sehingga pada tahap aktiviti kekeluargaan, kegiatan ekonomi rakyat dan industri di negeri Selangor boleh terjejas dan sangat merugikan.

Keempat : Pengurusan sisa pepejal, sisa elektronik (e-waste) & Bateri hydrogen/EV

Selangor menghasilkan sekitar 10,000 tan sisa pepejal sehari. Tapak pelupusan sampah utama seperti di Jeram dan Tanjung 12 dilaporkan semakin kritikal dan menghampiri tahap muatan maksimum (lifespan saturation).

Pada masa yang sama, Selangor juga merupakan hab pendaftaran kenderaan elektrik (EV) yang tinggi di Malaysia serta antara pengguna tenaga solar yang besar.

Bagaimanapun, negeri ini masih tiada pelan induk atau loji khusus bagi mengitar semula sisa bateri Litium-ion EV dan panel solar usang berskala industri. Sekiranya tidak dirancang ia berisiko mencetuskan bencana alam sekitar ke dalam punca air bersih bawah tanah.

Pemuda Pas Selangor menuntut agar Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan dana dalam Belanjawan 2027 untuk pembinaan hab pelupusan dan loji kitar semula khusus untuk sisa bateri EV serta panel solar sebelum ia meledak menjadi krisis ekologi baharu.

Kelima : Peruntukan kepada MAIS demi membantu sekolah daif dan usaha membanteras isu ajaran sesat dan gerakan sekular

Di sebalik status Selangor sebagai negeri termaju dengan KDNK mencecah bilion ringgit, masih wujud ratusan institusi pendidikan agama rakyat, sekolah KAFA, dan sekolah pondok tradisional di bawah seliaan pihak berkuasa agama yang beroperasi dalam keadaan prasarana fizikal yang kurang baik dan terbelakang dari sudut infrastruktur asas dan teknologi.

Pemuda as Selangor menuntut agar kerajaan negeri menyalurkan peruntukan pembangunan khas berskala besar secara langsung kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) khusus untuk agenda membaik pulih bangunan, menaik taraf kemudahan keselamatan, dan melengkapkan prasarana digital sekolah-sekolah agama di seluruh
negeri, terutamanya di koridor luar bandar.

Selangor juga secara konsisten menjadi sasaran penyebaran pelbagai doktrin ajaran sesat yang mengancam akidah umat Islam seperti ajaran yang berselimutkan tarekat palsu, kultus individu dan mitos liar di luar sana.

Pada masa yang sama, terdapat penyusupan dana dan normalisasi gerakan sekular, liberalisme, serta pluralisme agama yang cuba mencabar kedaulatan Institusi dan Syariat Islam di negeri ini.

Pemuda Pas Selangor menuntut kerajaan negeri memperuntukkan dana penguatkuasaan khas yang besar kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam Belanjawan 2027 bagi memperkasakan unit risikan akidah, mengetatkan kawalan ke atas media sosial yang menyebarkan fahaman sekular-liberal, serta membiayai program pemulihan aqidah umat Islam secara menyeluruh termasuk ke atas usaha membanteras kumpulan yang memperjuangkan gerakan sekular
dalam negeri ini.

Keenam : Guna tenaga belia, kualiti pekerjaan dan ketidakpadanan upah

Meskipun Selangor memiliki pasaran buruh yang sangat dinamik, pertumbuhan pekerjaan ini masih didominasi oleh perkhidmatan bernilai tambah sederhana dan rendah.

Cabaran paling mendesak bagi anak muda di Selangor hari ini ialah isu guna tenaga tidak penuh (underemployment). Ramai graduan terpaksa menceburi sektor ekonomi gig atau pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak menawarkan tangga gaji bersesuaian dengan kelayakan dan kos hidup semasa.

Kadar kenaikan gaji penengah bagi golongan belia jauh tertinggal di belakang kenaikan harga barangan asas serta kos tempat tinggal. Pemuda Pas Selangor menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor membangunkan pelan intervensi yang komprehensif bagi menarik pelabur yang berimpak dan bernilai ekonomi tinggi agar mampu menyediakan gaji yang lebih bermaruah kepada anak muda di negeri Selangor.

Ketujuh: Peruntukan sama adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri

Sehingga kini Ahli Dewan Negeri (ADUN) pembangkang masih tidak menerima jumlah peruntukan pembangunan pusat khidmat yang sama rata dengan ADN blok kerajaan.

Ini adalah pengkhianatan janji yang nyata oleh Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini melaungkan slogan keadilan sosial dan kesaksamaan demokrasi.

Pemuda Pas Selangor mendesak agar Belanjawan 2027 memaktubkan dasar pemberian dana kawasan yang adil, telus, dan sekata kepada kesemua 56 Ahli Dewan Negeri Selangor tanpa mengira latar belakang parti politik mereka.

KESIMPULAN

Data rasmi semasa oleh DOSM membuktikan berlaku kemerosotan yang nyata dalam kualiti hidup rakyat Selangor. Sub Komposit Kesejahteraan Alam Sekitar menyusut kepada 102.3 mata akibat kejatuhan parah Komponen Biodiversiti (merosot 1.4%).

Manakala, Komponen Keluarga mencatatkan paras terendah antara semua komponen subkomposit sosial iaitu 89.8 mata (turun 0.9 mata indeks), Indeks Komponen Pendidikan merosot 1.6% (turun 2.0 mata indeks), Komponen Hiburan dan Rekreasi merosot 1.8% (turun 2.0 mata indeks), Komponen Keselamatan Awam merosot 0.6% (turun 0.7 mata indeks) dan Komponen Persekitaran Kerja merosot 1.9% (turun 2.4 mata indeks).

Data ini menjadi bukti bahawa cabaran kos sara hidup yang tinggi telah menjejaskan kestabilan keluarga dan emosi rakyat.

Belanjawan 2027 mestilah meletakkan indeks petunjuk prestasi (KPI) ini sebagai hala tuju yang khusus dengan menyediakan dana khas bagi memulihkan subkomponen ini melalui usaha proaktif pewartaan semula hutan simpan, menghentikan kelulusan projek komersial di kawasan zon hijau, serta memperkasakan program sokongan psikososial keluarga.

Rakyat Selangor berhak mendapat satu belanjawan yang lebih pro rakyat berbanding hanya menguntungkan beberapa kelompok elit tertentu sahaja (Selangor Deserves Better).

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 7;

“Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”
.
Dewan Pemuda Pas Selangor berharap agar isu-isu rakyat yang dibangkitkan oleh kami ini diberi perhatian serius oleh Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari dalam Belanjawan 2027 ini.

* Mohamed Sukri Omar adalah Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here