SEORANG pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi membantu siasatan kes penyelewengan kutipan fi pemprosesan pelan bangunan berjumlah RM63,000.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir ke pejabat SPRM Selangor untuk memberikan keterangan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2023 dengan mengeluarkan resit yang disyaki palsu bagi bayaran permohonan pelan bangunan.
Bagaimanapun, wang kutipan berkenaan dipercayai tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun hasil PBT tempat suspek bertugas.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran palsu, jika dapat dinilai, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.





