AKSI kejar-mengejar antara polis dan sebuah Perodua Axia yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Setapak, awal pagi tadi, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman, berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku ketika anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Setapak menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Usahawan 6.
Beliau berkata, anggota polis mengesan sebuah Perodua Axia berwarna jingga dalam keadaan mencurigakan dengan enjin kenderaan masih hidup.
“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar melalui kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Jalan Santuari Utama dan Jalan Ayer Keroh.
“Kenderaan berkenaan kemudian menghala ke Jalan Tun Razak sebelum akhirnya berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi 13 saat yang memaparkan aksi kejar-mengejar itu dan tular di media sosial Threads.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Balai Polis Setapak di talian 03-4023 2222.





