RUU Jenayah Siber perkukuh tindakan terhadap penjenayah luar negara

PIHAK berkuasa mempunyai asas perundangan lebih jelas untuk mengambil tindakan terhadap penjenayah siber yang beroperasi dari luar negara menerusi peruntukan bidang kuasa rentas sempadan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, peruntukan itu membolehkan tindakan undang-undang diambil sekiranya kesalahan membabitkan sistem di Malaysia atau mangsanya merupakan warganegara negara ini.

Katanya, jenayah siber dan penipuan dalam talian kini tidak lagi terbatas kepada sempadan geografi apabila sindiket boleh beroperasi dari luar negara menggunakan infrastruktur digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penyamaran identiti.

“Peruntukan bidang kuasa rentas sempadan ini memberikan asas perundangan yang lebih jelas bagi membolehkan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap pelaku yang berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, JSJK turut menyambut baik pengukuhan kuasa penyiasatan berkaitan pemeliharaan dan penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi bagi menangani jenayah siber.

Menurutnya, pengukuhan perundangan itu diyakini dapat meningkatkan keberkesanan siasatan selain memperkukuh usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras sindiket penipuan dalam talian.

“Langkah ini juga mampu memberikan kesan pencegahan kepada penjenayah yang beranggapan mereka boleh berlindung di sebalik sempadan negara atau teknologi digital,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Fasal 2 RUU berkenaan membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku di luar negara seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Malaysia.

Beliau berkata, RUU yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), selain menangani jurang perundangan termasuk jenayah siber rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi AI.

Rusdi berkata, JSJK kekal komited memastikan ruang siber tidak dijadikan tempat perlindungan bagi penjenayah.

Katanya, usaha membanteras jenayah siber memerlukan perundangan relevan, keupayaan penguatkuasaan yang responsif serta kerjasama antara agensi dan negara bagi melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah digital yang semakin kompleks.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here