JEMAAH Menteri hari ini membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang disifatkan sebagai antara agenda reformasi institusi terbesar kerajaan ketika ini.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan kekal komited melaksanakan reformasi itu dan menyasarkan RUU berkenaan dibawa untuk dibahas serta diluluskan dalam sidang Parlimen semasa.
Menurut beliau, pelbagai sesi libat urus serta syor daripada Jawatankuasa Pilihan Khas sudah dipertimbang sebelum cadangan pindaan dimuktamadkan.
“Kerajaan dan Jemaah Menteri komited untuk melaksanakan reformasi ini.
“Pelbagai pandangan yang dibangkitkan termasuk menerusi jawatankuasa pilihan khas telah diambil kira dan diteliti bagi menambah baik rang undang-undang ini sebelum dibentangkan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau berkata, pindaan yang dicadangkan bukan sekadar memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, malah bertujuan memastikan institusi pendakwaan dapat berfungsi secara lebih bebas daripada pengaruh eksekutif.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan serta menjamin integriti proses pendakwaan negara.
“Apa yang diusahakan bukan sekadar pemisahan kuasa tetapi mewujudkan institusi pendakwa raya yang bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak untuk tujuan tertentu.
“Inilah reformasi yang mampu memperkukuh demokrasi negara serta menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat selama ini,” katanya.
Mengulas persoalan sama ada kerajaan mempunyai sokongan mencukupi untuk memperoleh majoriti dua pertiga, Fahmi berkata, kerajaan perpaduan kekal utuh dan perbezaan pandangan di peringkat tertentu tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Beliau berkata, pindaan itu tidak seharusnya dilihat melalui lensa politik semata-mata sebaliknya sebagai usaha memperkukuh masa depan institusi negara.
“Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang perlu meletakkan kepentingan negara, demokrasi dan Parlimen lebih tinggi daripada permainan politik.
“Ini bukan soal politik tetapi soal masa depan negara dan institusi pendakwaan yang lebih bebas,” katanya.
Fahmi turut mengingatkan bahawa rekod sokongan dan kehadiran Ahli Parlimen terhadap usul penting seperti ini akan menjadi sebahagian daripada sejarah yang dinilai rakyat.
Beliau berharap semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti memberi sokongan penuh terhadap usaha pindaan perlembagaan berkenaan demi memperkukuh sistem demokrasi negara.






