PERKEMBANGAN politik di Amerika Syarikat (AS) membawa mesej penting mengenai penolakan politik kebencian, khususnya sentimen perkauman dan permusuhan terhadap golongan minoriti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu diharap dapat membantu meredakan ketegangan geopolitik antarabangsa, termasuk konflik membabitkan permusuhan terhadap Islam dan Iran.
Menurutnya, perkembangan berkenaan turut memperlihatkan penglibatan calon daripada golongan minoriti, termasuk masyarakat Islam dalam politik negara itu.
“Itu politik dalaman Amerika lah. Jadi tentunya kita juga senang beberapa calon-calon yang saya kenal peribadi pun ada dan ada juga yang mewakili golongan minoriti, umat Islam.
“Tapi saya lihat umpamanya untuk dunia ini, kena bagi mesej yang lebih baiklah. Kerana kebanyakannya menentang serangan dan permusuhan terhadap Islam atau permusuhan terhadap Iran. Jadi ini yang mudah-mudahan dapat meredakan ketegangan politik geopolitik antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas di Ampang hari ini.
Parti Demokrat dilaporkan menguasai Dewan Perwakilan dan Senat AS dalam pilihan raya pertengahan penggal yang berlangsung Selasa lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, kerajaan masih meneliti kemungkinan kesan perubahan landskap politik AS terhadap pelaksanaan tarif timbal balik negara itu ke atas Malaysia.
Katanya, perkara berkenaan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan mengambil kira implikasi jangka pendek dan sederhana terhadap negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hubungan Malaysia dengan pentadbiran AS akan terus diperkukuh.
Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat supaya mengambil pengajaran daripada perkembangan berkenaan dengan mengutamakan perpaduan, integriti serta usaha membanteras rasuah berbanding terjebak dalam politik berasaskan perkauman.





