Along terus ugut mangsa walaupun pinjaman sudah dilunaskan

TINDAKAN sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along semakin membimbangkan apabila sanggup melakukan kekerasan terhadap peminjam, termasuk menyimbah cat dan membaling bom petrol meskipun hutang sudah dibayar.

Seorang wanita berusia 57 tahun yang dikenali sebagai Lim mendakwa, keluarganya terus menjadi sasaran selepas anaknya meminjam RM1,400 daripada along pada Jun lalu untuk memulakan perniagaan.

Katanya, anaknya sudah membayar RM2,000, namun pihak terbabit masih menuntut wang tambahan daripada ahli keluarga lain termasuk dirinya dan bekas suami.

“Mereka minta lagi bayaran, bukan hanya daripada saya tetapi anak-anak lain dan bekas suami… bila tak dapat mereka baling bom petrol,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini, lapor Harian Metro.

Lim mendakwa, rumah keluarganya sudah tiga kali menjadi sasaran simbahan cat dan serangan bom petrol, termasuk selepas mereka membuat laporan polis atas nasihat MHO.

Keadaan itu menyebabkan keluarga berkenaan tertekan, malah jiran turut mendesak mereka berpindah kerana bimbang kejadian sama berulang.

Sementara itu, seorang pemandu lori dikenali sebagai Anuar, berusia lingkungan 40-an, mendakwa turut menjadi mangsa selepas memohon pinjaman RM9,000 menerusi tawaran WhatsApp pada Mei lalu.

Beliau hanya menerima RM8,450 dan diminta menandatangani beberapa dokumen, selain menyerahkan kad bank sebelum wang pinjaman diberikan.

Anuar berkata, beliau mula menyedari terperangkap dengan along selepas dimaklumkan rakannya dua bulan kemudian, sebelum membatalkan kad bank berkenaan.

Tindakan itu mencetuskan ugutan daripada pemberi pinjaman terbabit, termasuk ancaman menyebarkan salinan kad pengenalannya di kawasan kediaman.

Lebih membimbangkan, beliau mendakwa turut menerima ugutan selepas membuat laporan polis, termasuk amaran akan diberikan ‘buah tangan’.

Anuar yang mempunyai dua anak berkata, keluarganya kini hidup dalam ketakutan kerana along berkenaan mengetahui lokasi rumah serta tempat kerjanya.

Beliau merayu polis membuka semula kertas siasatan kesnya yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan membantu memohon supaya siasatan kes Anuar dibuka semula kerana terdapat unsur jenayah.

Bagi kes Lim pula, katanya, MHO akan mendesak polis mengambil tindakan berdasarkan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan perbuatan suspek.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here