Tony Pua mahu sumber dana bayar denda Najib diaudit BNM, SPRM

BEKAS Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan audit terhadap dana yang dikumpulkan UMNO bagi menjelaskan denda RM50 juta Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pemeriksaan itu penting bagi memastikan sumber wang yang diperoleh menerusi kempen kutipan derma berkenaan adalah sah dan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman UMNO bahawa parti berkenaan berjaya melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas mengumpulkan dana mencukupi menerusi kempen derma yang dilancarkan pada September lalu.

Tony turut mempersoalkan keputusan UMNO menggunakan wang berkenaan untuk membantu Najib, sedangkan dana itu menurutnya boleh dimanfaatkan bagi membantu rakyat yang berdepan kesusahan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan keputusan parti itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sebagai gambaran jelas pendirian sebenar UMNO.

Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau sebelum itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, pada Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan pengampunan diraja yang mengurangkan separuh tempoh pemenjaraan Najib serta menurunkan jumlah denda kepada RM50 juta.

Pada September tahun ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan satu lagi pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Kebenaran berkenaan tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat lain yang ditetapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here