TIGA kumpulan masyarakat sivil menyeru semua pihak memberi ruang kepada mahkamah menyelesaikan kekaburan undang-undang berhubung tahanan dalam rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum pelaksanaan itu dijalankan.
Projek Sama, Bersih, dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membangkitkan kekaburan mahupun kekhilafan yang serius, disengajakan atau tidak, dalam perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 6 Nov.
Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu berkata susunan kata dalam perintah tersebut boleh menyebabkan hukuman penjara enam tahun Najib bagi kes SRC International dianggap telah selesai.
Katanya, sekiranya Najib dilepaskan secara tidak sah dalam kes SRC, hukuman penjara 15 tahun beliau bagi kes 1MDB-Tanore akan bermula dengan serta-merta.
Mereka turut memuji Jabatan Peguam Negara (AGC) yang cukup berwaspada dalam mengenal pasti kekaburan perintah Mahkamah Tinggi dan berharap perintah itu tidak digesakan untuk dilaksana dengan tekanan politik atau kempen awam.
Kumpulan berkenaan berkata, sebarang percubaan menghalang kekaburan atau kekhilafan itu daripada dicabar di mahkamah bakal mencabuli kedaulatan undang-undang—dan seterusnya menghakis keyakinan awam dan antarabangsa terhadap tatakelola yang baik serta ekonomi Malaysia.
“Menghalang kekaburan atau kekhilafan ini daripada dicabar di mahkamah, secara prinsipnya, mencabuli kedaulatan undang-undang, sekali gus mengubah sifat asas Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen,” katanya.
Kumpulan tersebut berkata, perbezaan tafsiran terhadap peruntukan Perlembagaan dan undang-undang antara institusi suatu perkara biasa, justeru badan kehakiman mentafsir undang-undang dan menyelesaikan pertikaian perundangan.
Katanya, penangguhan secara singkat ini akhirnya akan memberi kelebihan kepada Najiib dari sudut pandangan awam.
“Pantang untuk Najib tergesa-gesa dengan proses ini sehingga terus menjejaskan kedaulatan undang-undang dan keyakinan awam terhadap demokrasi berparlimen,” katanya.





