BN perlu kemuka bukti telah laksana 97 peratus manifesto PRN 2021

BARISAN Nasional (BN) perlu mengemukakan bukti terperinci bagi menyokong dakwaan telah melaksanakan 97 peratus janji manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata ia bagi membolehkan rakyat menilai kedudukan sebenar pelaksanaan 103 inisiatif yang terkandung dalam manifesto tersebut merentas lima teras utama.

“Kalau kita melihat dakwaan pencapaian itu, perlu disertakan senarai lengkap yang menunjukkan kedudukan serta komitmen supaya pengundi dapat menilai sendiri,” katanya pada Sidang Media Harian PH di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru, Melaka hari ini.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata ketelusan dalam mengemukakan pencapaian manifesto penting bagi memastikan setiap komitmen diumumkan kerajaan dapat dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan sebenar, bukan sekadar angka peratusan.

Beliau turut membangkitkan kedudukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan ringkasan laporan Ketua Audit Negara yang merekodkan hasil Melaka sebanyak RM490 juta berbanding perbelanjaan RM519 juta pada 2024.

Kedudukan itu, menurut beliau memperlihatkan kepentingan pengurusan kewangan berhemah selain memastikan setiap keputusan perbelanjaan mempunyai rekod dan hasil yang boleh diperiksa.

“Kadang-kadang kita dapat meningkatkan pendapatan tetapi pengurusan perbelanjaan juga harus diberikan keutamaan. Sebab itu kalau mengikut rekod 2024, pendapatan (kerajaan negeri) RM490 juta tetapi berbelanja RM519 juta,” katanya.

Adly berkata pentadbiran PH di Melaka pada 2019 pernah mencatat lebihan kewangan RM50 juta sekali gus menunjukkan kepentingan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata PH menerusi aspirasi Melaka Rumah Kita menawarkan pentadbiran yang bersih, telus dan berintegriti termasuk memastikan setiap ringgit wang awam diuruskan secara berhemah.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata pengundi berhak mendapatkan maklumat jelas mengenai pencapaian kerajaan negeri supaya dapat membuat penilaian sewajarnya menjelang PRN Melaka ke-16.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here