KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menunggu keputusan analisis makmal dan akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983 berikutan dakwaan keracunan makanan melibatkan produk syarikat itu.
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan awal sedang dijalankan berhubung aduan tular di media sosial dan laporan media mengenai dakwaan keracunan makanan selepas pengambilan produk Gardenia, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
“KKM telah mendapatkan penjelasan Gardenia Bakeries (KL). Menurut syarikat, siasatan dalamannya tidak menemukan sebarang penyimpangan proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terlibat.
“Proses pengesanan produk terlibat masih terbatas kerana maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap. Bagaimanapun, baki produk serta bungkusannya telah diambil dengan persetujuan pengadu untuk analisis makmal,” menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan dapatan syarikat itu adalah hasil siasatan dalaman dan belum boleh dijadikan asas kepada kesimpulan muktamad mengenai punca simptom yang dilaporkan.
Kementerian itu turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Individu yang mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki juga diminta segera mendapatkan rawatan perubatan dan melaporkannya kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Selain itu, aduan berkaitan keselamatan makanan boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di https://moh.spab.gov.my/ atau Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.
Baru-baru ini, seorang pengguna akaun Threads mendakwa mengalami keracunan makanan selepas mengambil dua produk syarikat itu.





