MALAYSIA menekankan keperluan memperkukuh keselamatan siber dan perlindungan kanak-kanak dalam talian, di samping memastikan pembangunan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu yang lain dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata aspek kepercayaan dan keselamatan penting bagi memastikan orang ramai yakin untuk menyertai ekonomi digital, ketika kemajuan teknologi terus mengubah cara kehidupan dan pekerjaan masyarakat.
Beliau berkata inovasi perlu dilengkapi langkah perlindungan sewajarnya bagi melindungi pengguna serta membina keyakinan orang ramai terhadap teknologi digital.
“Deklarasi itu sewajarnya memberikan penekanan terhadap keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian selain memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi baharu yang bertanggungjawab.
“Bagi Malaysia, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan. Ini akan memberikan keyakinan kepada orang ramai untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital,” katanya pada Meja Bulat Peringkat Menteri yang diadakan bersempena dengan Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), di Doha hari ini, lapor Bernama.
Fahmi berkata Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang menggariskan pendekatan menyeluruh dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital.
Beliau berkata deklarasi itu mencerminkan tiga keutamaan yang menjadi teras agenda digital negara, iaitu memastikan ketersambungan bermakna, menggalakkan keterangkuman digital serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.
Ketersambungan yang bermakna perlu melangkaui liputan rangkaian bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi kekal mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan dalam menyokong masyarakat serta aktiviti ekonomi.
Malaysia turut menyambut baik deklarasi itu yang menekankan pembangunan infrastruktur digital yang berdaya tahan dan mampan bagi memastikan kesinambungan komunikasi penting ketika berlaku kecemasan dan gangguan.
Fahmi berkata transformasi digital perlu mewujudkan peluang untuk semua tanpa mengira lokasi geografi atau tahap kesediaan digital masing-masing.
Beliau berkata kerajaan Malaysia senantiasa memberikan tumpuan kepada pelaburan dalam kemahiran digital dan pembangunan keupayaan, selain menyokong inovasi bagi membolehkan lebih banyak rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi digital.
“Ketika AI dan teknologi baharu yang lain terus berkembang, kita perlu memastikan negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat akses tidak keciciran.
“Mereka bukan sahaja perlu diberi peluang untuk menggunakan teknologi ini, malah berpeluang membentuk hala tuju pembangunan teknologi berkenaan dan menikmati manfaat daripada peluang yang ada,” katanya.
Fahmi turut menyambut baik keutamaan deklarasi itu terhadap kerjasama antarabangsa serta mengiktiraf peranan penting ITU dalam memperluas ketersambungan, membangunkan piawaian teknikal dan memperkukuh keupayaan digital.
Beliau berkata Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan ITU dan negara anggota lain bagi membina masa depan digital yang lebih terhubung dan inklusif, di samping memastikan keselamatan yang lebih terjamin serta peluang saksama untuk semua.





