TINDAKAN seorang duda mengunjungi wanita yang masih dalam tempoh edah selepas bercerai membawa padah apabila mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), awal pagi tadi.
Pasangan berusia 27 dan 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah kedai di daerah ini kira-kira jam 12.15 tengah malam selepas disyaki berkhalwat susulan maklumat orang awam.
Menurut JAINJ, pemeriksaan mendapati pintu pagar besi rumah kedai berkenaan tidak berkunci sebelum anggota penguat kuasa naik ke tingkat atas yang menempatkan beberapa bilik sewa.
Katanya, penguat kuasa mengetuk salah sebuah bilik, namun tiada jawapan diterima. Selepas menunggu kira-kira tiga minit, mereka terdengar bunyi bising dari dalam bilik seperti objek terjatuh.
Pada masa sama, anggota yang berkawal di bawah ternampak seorang lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap sebelum masuk semula ke dalam bilik selepas disuluh lampu suluh.
“Penguat kuasa sekali lagi mengetuk pintu bilik sebelum dibuka dan mendapati seorang lelaki serta seorang wanita berada di dalamnya,” menurut kenyataan itu.
Hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan berstatus duda dan bekerja di Kluang, manakala wanita itu juga bekerja di daerah sama serta masih dalam tempoh edah selepas bercerai.
Wanita terbabit memaklumkan bilik itu disewanya selepas berpisah dengan suami, manakala lelaki berkenaan tinggal kira-kira 10 kilometer dari lokasi pemeriksaan.
Lelaki itu mendakwa datang ke bilik berkenaan sekadar untuk berehat kerana rumahnya dipenuhi ahli keluarga yang pulang dari jauh sempena cuti panjang Deepavali.
Dia turut mendakwa wanita itu bakal isterinya dan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.



