SEORANG penganggur yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman berkaitan dadah berdepan hukuman mati selepas didakwa mengedar heroin seberat 115 gram (g) dan memiliki methamphetamine di Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini.
Rahaimi Misnon, 48, hanya mengangguk faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar heroin kerana kesalahan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Buletin TV3.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar heroin seberat 115g di tepi sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, Semerah, kira-kira jam 3 petang, 3 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki methamphetamine seberat 5.10g mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 13 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.





