Malaysia perlu bangun teknologi sendiri bukan sekadar jadi pengguna,pengimport

MALAYSIA  perlu beralih daripada hanya menjadi pengguna dan pengimport teknologi kepada negara yang mampu membangunkan keupayaan industri serta teknologi sendiri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pemain industri tempatan, penyelidik dan agensi kerajaan perlu bekerjasama dalam menyesuaikan, menghasilkan serta mengeksport inovasi teknologi yang memenuhi keperluan khusus negara.

Menurutnya, kerjasama berkesan antara pihak berkepentingan tidak seharusnya terhenti pada perbincangan, sebaliknya perlu membuka peluang kepada proses pembelajaran, pengujian, pembangunan keupayaan tempatan dan peluasan penggunaan teknologi dalam pasaran.

“Justeru, saya ingin mengulangi penghargaan mendalam terhadap usaha kementerian dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) meneroka teknologi percetakan konkrit 3D. Inisiatif ini penting kerana menunjukkan bagaimana Malaysia boleh bergerak melangkaui penggunaan teknologi semata-mata kepada pembangunan keupayaan teknologi sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim.

Anwar turut menegaskan bahawa kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tidak boleh diketepikan ketika sektor pembinaan melalui perubahan menerusi penggunaan pembinaan modular, automasi, robotik dan reka bentuk digital.

Katanya, kejayaan transformasi industri pembinaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah teknologi yang diperkenalkan atau projek yang disiapkan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan yang berjaya dibangunkan serta peluang perniagaan yang diwujudkan untuk syarikat tempatan.

“Keberkesanan transformasi ini akhirnya perlu diukur berdasarkan keupayaan yang kita bangunkan dan peluang yang kita wujudkan untuk perniagaan tempatan,” katanya.

ICW 2026 yang dianjurkan CIDB dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan pengurus acara Qube, berlangsung selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

Program itu turut menampilkan BuildXPO Malaysia sebagai pameran perdagangan rasmi serta diadakan serentak dengan Glasstech Asia dan Fenestration Asia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here