Malaysia, Qatar teroka kerjasama komunikasi satelit dan teknologi selamat kuantum – Fahmi

MALAYSIA dan Qatar meneroka kerjasama erat dalam bidang komunikasi satelit dan teknologi komunikasi selamat kuantum bagi memperkukuh kesalinghubungan digital, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai liputan Internet, selain meningkatkan keselamatan rangkaian komunikasi daripada ancaman penggodaman.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Qatar Mohammed Ali Al Mannai, termasuk aspek pemantauan satelit serta penggunaan teknologi bagi memastikan sistem komunikasi lebih selamat dan berdaya tahan.

Beliau berkata komunikasi satelit dijangka memainkan peranan semakin penting dalam menyediakan akses Internet, terutama di kawasan yang tidak mempunyai menara telekomunikasi atau liputan rangkaian sedia ada.

“Komunikasi satelit sekarang ini akan memainkan peranan, terutama di kawasan yang tidak ada menara, yang tidak ada capaian Internet.

“Kita akan lihat bagaimana Qatar melaksanakan, bagaimana Malaysia berhasrat untuk laksanakan, dan kita bekerjasama supaya komunikasi boleh lebih selamat dan tidak boleh terlalu mudah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada Bernama dan RTM selepas pertemuan itu bersempena dengan Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha hari ini.

Beliau berkata perbincangan itu, pada masa sama, membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang literasi digital dan literasi kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Fahmi turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Nepal Bikram Timilsina bagi membincangkan potensi memperluas kerjasama dalam bidang sama, serta menyampaikan ucapan takziah susulan tragedi banjir besar yang berlaku pada 26 Ogos lepas.

Beliau berkata perbincangan itu menyentuh beberapa aspek melibatkan pihak Peguam Negara Malaysia dan Nepal bagi membolehkan status rakyat Malaysia terlibat ditentukan, sekali gus memberikan kepastian kepada keluarga mereka.

“Saya telah berbincang dengan menteri dari Nepal dan menyampaikan ucapan takziah serta perbincangan sedikit mengenai beberapa aspek antara Peguam Negara kedua-dua negara untuk membolehkan isu yang melibatkan rakyat Malaysia yang belum dapat dikesan diputuskan status mereka,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here