SEORANG pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM26,000 bagi membantu mempercepatkan urusan lesen perniagaan.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai menerima wang berkenaan daripada pemilik sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sebagai ‘runner’ sebagai balasan membantu melancarkan pengeluaran lesen perniagaan serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat terbabit.
“Suspek ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara 2019 hingga 2023, dengan wang rasuah disalurkan melalui beberapa transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi suspek,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.





