PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kekal dijadualkan berlangsung pada 26 November ini, manakala Belanjawan Negeri 2027 akan dibentangkan pada keesokan harinya.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, tiada perubahan setakat ini berhubung tarikh persidangan berkenaan dan semua pihak diminta menunggu notis rasmi yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, tiada perubahan seperti ditetapkan (Persidangan DUN). Notis itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Tunggulah notis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Seremban petang tadi, lapor BH.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Kerajaan negeri sebelum ini menetapkan 26 November sebagai tarikh persidangan DUN, diikuti pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 27 November.
Bagaimanapun, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan masih berusaha mendapatkan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk berangkat merasmikan persidangan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, Tuanku Muhriz turut dijemput menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Sabtu ini.
“Insya-Allah, Tuanku pun akan hadir pada majlis Sabtu ini (sambutan Deepavali) kerana Tuanku pun dijemput.
“Jemputan dibuat mengikut senarai protokol, bermula daripada Tuanku sehingga ketua jabatan-jabatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, majlis yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 4 petang itu dijangka menghimpunkan kira-kira 7,000 pengunjung.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan kehadiran masyarakat setempat bagi memeriahkan sambutan berkenaan sekali gus menyemarakkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Menurutnya, setiap perayaan perlu diraikan dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan bagi mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkukuh perpaduan yang sedia terjalin.





