TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai pemimpin berprinsip yang konsisten mempertahankan pendiriannya susulan keputusan melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Beliau berkata, pendirian Ahli Parlimen Seremban itu wajar dihormati, selain merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kerjasama diberikan sepanjang berkhidmat dalam Jemaah Menteri.
“Saya sudah membaca kenyataan daripada beliau mengenai peletakan jawatannya.
“Beliau seorang yang berprinsip dan berpegang kepada prinsip itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau sepanjang berada sebagai anggota Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM), Ayer Pa’abas di Alor Gajah hari ini.
Anthony hari ini mengumumkan peletakan jawatannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Keputusan itu selari dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat terhadap Najib, meskipun parti berkenaan menghormati kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan.
Anthony sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, namun diminta meneruskan tugas sementara menunggu penyelesaian urusan berkaitan tahanan rumah Najib.
Beliau turut memberi jaminan akan membantu memastikan proses peralihan tugas di Kementerian Pengangkutan berjalan lancar, selain pelaksanaan dasar dan projek kementerian diteruskan seperti dirancang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ketiadaan Anthony dalam mesyuarat Kabinet akan dirasai memandangkan beliau merupakan antara anggota kanan dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kedudukan Anthony yang lazimnya duduk bersebelahan dengannya ketika mesyuarat Jemaah Menteri turut menjadikan pemergian itu lebih dirasai.
“Kebetulan beliau duduk di sebelah kanan saya setiap kali mesyuarat Kabinet dan sudah pasti akan terasa kehilangan (pada mesyuarat akan datang).
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau di luar Kabinet,” katanya.





