Dadah RM18.53 juta dilupuskan, syabu catat jumlah tertinggi

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Melaka melupuskan barang kes dadah bernilai RM18.53 juta membabitkan 1,963 kertas siasatan bagi tempoh 2007 hingga tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, syabu merekodkan jumlah tertinggi dalam pelupusan berkenaan dengan berat 357 kilogram (kg) bernilai RM16 juta.

Menurutnya, pelupusan kali pertama bagi tahun ini turut membabitkan pelbagai jenis dadah dan bahan larangan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952.

“Jumlah barang kes yang dilupuskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 ialah 382,713.56 gram dadah pelbagai jenis dan 172.35 mililiter bahan larangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, pelupusan di bawah Akta Racun 1952 pula membabitkan 151,553.09 gram barang kes serta 267,558.01 mililiter bahan larangan termasuk ketum.

Katanya, semua barang kes berkenaan sudah melalui prosiding perbicaraan di mahkamah dan proses analisis Jabatan Kimia sebelum dilupuskan.

“Proses pelupusan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat dilantik yang mempunyai kepakaran serta peralatan khusus bagi memastikan pengurusan bahan buangan terjadual mematuhi piawaian dan peraturan alam sekitar,” katanya.

Dzulkhairi berkata, JSJN Kontinjen Melaka akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, termasuk ketum.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here