KEPUTUSAN melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta semalam yang diumumkan Anthony Loke Siew Fook adalah berpegang kepada prinsip sebagai ahli politik yang mengotakan setiap kata-kata dan janji.
Menurut beliau, keputusan itu selaras dengan pendirian yang telah dinyatakan secara terbuka hampir dua bulan lalu, sekali gus membuktikan bahawa setiap kenyataan perlu disusuli tindakan.
Kredibiliti seseorang pemimpin perlu sentiasa dipelihara bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan rakyat tidak terjejas.
“Ramai ahli politik dikaitkan dengan ungkapan ‘cakap tak serupa bikin’. Namun, saya memilih untuk menjadi ahli politik yang berpegang kepada prinsip. Cakap serupa bikin, iaitu memastikan setiap perkara yang diperkatakan bukan sekadar janji atau cakap kosong, sebaliknya dilaksanakan dan direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Cahaya Kasih MADANI sempena sambutan Deepavali di Kementerian Pengangkutan Putrajaya.
Anthony Loke turut menegaskan, kehilangan jawatan bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya kredibiliti diri perlu dipertahankan kerana menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat terhadap seseorang pemimpin.
Prinsip itu, turut menjadi pegangan hidup yang diterapkan bapanya sejak dahulu, iaitu setiap perkara yang diperkatakan perlu ditunaikan biarpun berdepan kesukaran.
Terdahulu, Anthony Loke menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada Selasa, sebaik sahaja Najib tiba di kediamannya bagi menjalani baki hukuman penjara.





