TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyumbangkan gaji bulanannya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun berharap elaun yang diterima turut disertakan.
Beliau berkata, cadangan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu merupakan langkah baik, terutama jika bertujuan membantu NGO yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan undang-undang.
“Bagus… cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji tetapi elaun dia (Datuk Seri Mohamad Sabu).
“Elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Khatam Perdana Program Pra Tahfiz dan Libat Urus Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini, lapor Harian Metro.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan akan menyerahkan gaji bulanannya berjumlah RM11,900 kepada NGO yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan undang-undang sehingga pembubaran Parlimen bagi penggal ini.
Beliau menegaskan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang tidak seharusnya dikompromi atas faktor kedudukan, pengaruh politik atau hubungan kekeluargaan.
Dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berpuas hati dengan perjalanan kempen setakat ini yang disifatkan berlangsung dalam suasana tenang.
Beliau bersyukur semua parti yang bertanding menghormati tata etika dan mengamalkan tata susila kempen yang baik.
“Walaupun keadaan (PRN Melaka) ini sangat-sangat tenang berbanding dengan kempen-kempen PRN lain (PRN Negeri Sembilan, PRN Johor, PRN Sabah) atau Pilihan Raya Kecil… namun kita mengharapkan di hari akhir (14 November) ketika pengundian dijalankan, tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini akan berlaku,” katanya.
Mengulas penerimaan manifesto BN-Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan rakyat Melaka, beliau berkata, gabungan itu menawarkan 113 perkara yang mengambil kira keperluan masyarakat pelbagai peringkat umur, kaum, agama dan budaya.
“Melaka adalah negeri yang ditadbir dengan baik selama ini, dan kita harap kepercayaan dan juga sokongan (pengundi) dapat diberikan kepada calon-calon Barisan Nasional yang kita ketengahkan,” katanya.





