Lelaki dipenjara tiga bulan buat hantaran jelik terhadap PM

SEORANG lelaki dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah membuat hantaran bersifat jelik melampau terhadap Perdana Menteri menerusi Facebook, Mac lalu.

Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamed Shazrin Jamil, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Shazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau menerusi akaun Facebook ‘Shazrin Kedah’ dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.15 petang, 12 Mac lalu, sebelum hantaran berkenaan dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keperluan membendung perbuatan seumpama itu daripada berulang.

Beliau berhujah, hukuman tegas bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah menjadi peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Bagaimanapun, peguam Amer Haiqal Mohd Yusof yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara lebih ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungjawab menjaga kedua-dua ibu bapanya yang mengalami masalah kesihatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here