GST belum sesuai dilaksana semula, pendapatan rakyat perlu meningkat – PM

KERAJAAN belum bercadang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana pelaksanaannya ketika ini dikhuatiri meningkatkan beban kewangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem GST mempunyai asas percukaian lebih menyeluruh kerana melibatkan pengguna secara meluas, berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan kepada peniaga.

Menurut beliau, walaupun GST mempunyai kelebihan dari segi kecekapan dan ketelusan, keadaan pendapatan rakyat ketika ini perlu menjadi pertimbangan utama sebelum sebarang perubahan sistem percukaian dilaksanakan.

“Walaupun ada sedikit pengecualian beberapa ratus item tetapi prinsipnya itu SST cukai kepada peniaga, GST cukai kepada semua, ‘broad-based tax’,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, sistem SST ketika ini turut menyediakan pengecualian kepada kira-kira 2,000 barangan, berbanding hanya sekitar 750 barangan di bawah sistem GST.

Beliau berkata, pelaksanaan GST dalam keadaan pendapatan sebahagian besar rakyat masih pada tahap RM1,500 hingga RM2,000 sebulan berpotensi menambah tekanan kos sara hidup.

“Sekarang rakyat dapat RM1,500, RM1,700, RM2,000 dan kita kenakan GST, terbeban dia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pelaksanaan semula GST hanya wajar dipertimbangkan apabila pendapatan minimum rakyat meningkat sekurang-kurangnya RM4,000.

“Bila pendapatan rakyat keseluruhannya meningkat, RM4,000 minimum dan kita kenal GST itu munasabah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here