BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya dibenarkan tinggal bersama ahli keluarga terdekat sepanjang menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) menetapkan empat kategori syarat khusus menerusi perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Beliau berkata, syarat berkenaan merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan serta lawatan, penggunaan telefon dan peranti telekomunikasi, selain kewajipan mengikuti program pemulihan serta intervensi.
Menurutnya, Najib tidak dibenarkan tinggal bersama individu selain ahli keluarga yang terdiri daripada isteri, anak-anak, menantu dan cucu, melainkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.
“LPWP sudah menetapkan individu yang dibenarkan tinggal bersama beliau. Mana-mana individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis,” katanya ketika menjawab pertanyaan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, Najib turut tidak dibenarkan menerima kunjungan pelawat tanpa kebenaran bertulis.
Selain itu, bekas Presiden UMNO berkenaan hanya boleh menggunakan telefon atau peranti telekomunikasi yang didaftarkan dengan Jabatan Penjara.
Beliau juga dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media, membuat penampilan di platform media sosial, menghadiri majlis awam atau terbabit dalam sebarang aktiviti politik.
Saifuddin berkata, syarat berkenaan bukan dirangka khusus untuk Najib semata-mata, sebaliknya turut menjadi kerangka panduan bagi mengendalikan kes seumpamanya pada masa hadapan.
Katanya, Jabatan Penjara mempunyai kuasa di bawah Akta Penjara untuk menetapkan syarat tambahan berkaitan kawalan dan pengawasan, termasuk mewujudkan prosedur yang diperlukan.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah pada 10 November lalu.
Hukuman beliau dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.





