Lelaki pijak al-Quran dipenjara 12 bulan, denda RM250,000

SEORANG lelaki yang tular di media sosial kerana memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di aplikasi Threads, dihukum penjara 12 bulan dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Vikneswaran, 21, bekas pelajar sebuah universiti, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama bermula dari tarikh jatuh hukum. Jika gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua, tertuduh boleh dipenjara selama 12 bulan lagi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencemarkan sebuah al-Quran, iaitu objek suci penganut agama Islam, dengan niat mengaibkan agama berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1.30 petang, 22 Februari lalu, di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota, mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kemudahan rangkaian untuk memuat naik hantaran jelik melampau di media sosial dengan niat menyakiti hati orang lain, mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang pada 3 Mac lalu mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu, menukar pengakuannya kepada bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Mohd. Sabri Othman dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas bapanya, yang juga pengadu dalam kes itu, dihubungi anak perempuannya pada 24 Februari lalu mengenai video tular di aplikasi Threads yang memaparkan perbuatan berkenaan.

Pengadu kemudian menghubungi tertuduh untuk mendapatkan penjelasan sebelum anaknya mengakui individu dalam video itu ialah dirinya.

Siasatan mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, di sini, kerana tertuduh tidak berpuas hati selepas dikritik menggunakan bahasa kesat oleh pengguna media sosial lain.

Tertuduh ditangkap pada 25 Februari kira-kira jam 3.30 petang. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 15 milik tertuduh serta senaskhah al-Quran bagi membantu siasatan.

Analisis media sosial dan laporan syarikat telekomunikasi kemudian mengesahkan akaun serta nombor telefon yang digunakan adalah milik tertuduh dan keluarganya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here