PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kebimbangan berhubung aspek keselamatan anggota polis ketika menjalankan operasi susulan insiden menimpa seorang anggota pasukan itu ditetak dalam kejadian di Kepong, kelmarin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan dibangkitkan Anwar dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menjelaskan prosedur sedia ada membenarkan anggota polis mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi keselamatan diri ketika menjalankan operasi.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menimbulkan rasa kerisauan tentang insiden tersebut.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan bahawa dari segi prosedur sedia ada, memang anggota polis dibenarkan untuk mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan diri sentiasa menjadi keutamaan sewaktu sebarang operasi diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Dalam kejadian Rabu lalu, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, 26, parah selepas tangan kanannya putus akibat ditetak suspek di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong.
Kejadian berlaku ketika sepasukan polis bersama anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) ke lokasi susulan laporan orang awam mengenai seorang lelaki dipercayai mengamuk di kediaman berkenaan. Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan semula berhampiran sebuah taman permainan.
Lelaki itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas ditembak polis ketika cuba menyerang anggota yang cuba menahannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pembedahan menyambung semula pergelangan tangan anggota polis terbabit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya dilakukan selepas mengambil masa tujuh jam.
Katanya, Jemaah Menteri turut mengambil maklum kejayaan pasukan pakar pembedahan HKL melaksanakan prosedur kompleks berkenaan.
Tambah beliau, anggota polis itu turut menunjukkan perkembangan positif apabila sudah berupaya menggerakkan beberapa jari pada tangan yang cedera.





