SELEPAS pembangkang menggesa supaya sidang tergempar Dewan Rakyat diadakan bagi membahaskan isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai pada Ahad lalu, seorang ahli Parlimen daripada kerajaan turut mengkritik perjanjian berkenaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut mempersoalkan perjanjian berkenaan kerana didakwa mendatangkan banyak kemudaratan kepada negara.
Beliau juga secara terbuka mengkritik pihak yang terlibat dalam rundingan perjanjian itu kerana disifatkan menggadaikan maruah negara hanya untuk menurunkan kadar tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia kepada 19 peratus.
“Saya amat dukacita. Malaysia sebuah negara berdaulat bukan sahaja secara politik tetapi juga dari segi ekonominya. Bagaimana dalam masa tidak sampai dua hari, Presiden AS, Donald Trump datang ke sini dan kita telah menandatangani perjanjian yang melibatkan begitu banyak konsesi,’’ katanya ketika memabahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, Malaysia terpaksa menyerahkan kepada AS sebanyak RM1 trilion dalam tempoh beberapa tahun.
‘’Ini satu penyerahan, satu pemunggahan harta negara ke Amerika Syarikat. Ini tidak boleh diterima. Saya mengkritik perjanjian ini. Saya tidak tahu apa akan jadi kepada saya selepas ini, tetapi saya tidak bersetuju,” katanya tegas.
Dalam perbahasan itu juga Hassan mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan cukai kekayaan terhadap rakyat negara ini yang berstatus jutawan sebagai langkah menambah hasil negara.
Beliau takrifan golongan jutawan atau skala yang layak dikenakan cukai kekayaan ialah individu yang mempunyai nilai harta sekurang-kurangnya AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta).
“Baru-baru ini saya terbaca Perdana Menteri menyatakan bahawa adalah tidak bermoral jika kerajaan mengenakan cukai kepada rakyat miskin. Maka dalam semangat yang sama, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan cukai kekayaan kepada golongan kaya.
“Data tahun 2022 menunjukkan terdapat 85,126 jutawan di Malaysia dan jumlah ini terus meningkat. Dijangkakan pada tahun 2027, bilangan jutawan bakal mencecah 164,839 orang.
“Jadi, sudah sampai masanya golongan ini dikenakan cukai kekayaan atau capital tax bagi menambahkan hasil negara,” katanya


