‘’Najib tidak pernah arah RM2.8 bilion masuk ke akaun miliknya’’ – peguam

MAHKAMAH Tinggi Putrajaya hari ini diberitahu bahawa tuduhan pengubahan wang haram ke atas Datuk Seri Najib Razak tidak boleh dipertahankan kerana beliau tidak pernah mengarahkan wang berjumlah RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun Ambank miliknya.

Sebaliknya, kata peguam bela Najib, Datuk Tania Scivetti, dalam hujahan di akhir kes pembelaan, bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, bertindak atas arahan Low Taek Jho atau Jho Low, sedangkan ahli perniagaan dalam buruan itu tiada kuasa ke atas akaun berkenaan.

Scivetti berhujah, pendakwaan gagal membuktikan bahawa Najib sendiri yang mengarahkan AmIslamic Bank untuk menukar dua kiriman wang dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) kepada sembilan kredit dalam ringgit Malaysia supaya nilainya setara, yang kemudian boleh diterima ke dalam akaun peribadinya.

Peguam itu menegaskan, perkara itu dibuktikan melalui keterangan Ging Ping sendiri bahawa Najib tidak mempunyai sebarang peranan dalam memulakan atau membenarkan penukaran mata wang terbabit.

Menurut Scivetti, buktinya ialah, ketika memberikan keterangan, saksi itu menyatakan beliau tidak pernah berkomunikasi secara langsung dengan Najib berhubung penukaran AS$681 juta (RM2.85 bilion) kepada mata wang tempatan.

Katanya, perkara itu dikuatkan lagi dengan keterangan Najib sendiri bahawa beliau tidak pernah memberi kuasa kepada Jho Low atau bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, bagi sebarang tukaran wang asing, lapor Berita Harian.

“Keterangan Datuk Seri Najib adalah konsisten dengan surat mandat kontemporari yang secara nyata dikhaskan kepada beliau secara peribadi untuk meluluskan transaksi berkenaan.

“Mengikut peraturan itu, AmBank dikehendaki mendapatkan kebenaran Datuk Seri Najib untuk arahan di luar, iaitu skop terhad yang diberikan kepada Nik Faisal selaku pemegang mandat akaun peribadi beliau.

“Amalan perbankan standard menghendaki pegawai bank mendokumenkan semua transaksi arahan, terutama apabila diberikan melalui pesanan Blackberry (BBM) atau telefon, untuk memastikan akauntabiliti dan kebolehauditan.

“Lebih-lebih lagi, apabila pemegang akaun adalah Perdana Menteri, iaitu jawatan yang benar-benar layak sebagai ‘individu mempunyai pengaruh politik atau kuasa, menjadikannya terdedah kepada penyalahgunaan kuasa’, mengikut peraturan Anti Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Scivetti berkata, pendakwaan tidak mengemukakan sebarang rekod bagi membuktikan arahan yang dikatakan telah diterima oleh Ging Ping.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tertanya-tanya sama ada arahan benar-benar diberikan atau adakah Ging Ping hanya memproses penukaran mata wang secara robotik tanpa berunding dengan pemegang akaun.

Katanya, bukti menunjukkan Najib tidak mengarahkan, meluluskan atau membenarkan penukaran wang AS$620 juta (RM2.6 bilion) dan AS$61 juta (RM256.2 juta) kepada ringgit Malaysia, yang menyebabkan RM2.08 bilion diterima masuk ke dalam akaun peribadinya.

“Oleh itu, kami menghujahkan, tanpa membuktikan bahawa arahan itu datang daripada Datuk Seri Najib, tuduhan pengubahan wang haram gagal dibuktikan melampaui tahap keraguan munasabah,” katanya.

Scivetti berkata demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pembelaan bagi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img