Kerajaan dan Petronas nafi jual minyak, diesel kepada negara lain

KERAJAAN dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak menjual minyak dan diesel kepada negara lain seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, situasi yang dilaporkan melibatkan penghantaran diesel dari Malaysia ke Australia sebenarnya merujuk kepada minyak milik syarikat antarabangsa yang disimpan di negara ini sebelum dieksport semula.

“Diesel itu bukan dari perut bumi Malaysia. Ia sama seperti situasi di Filipina sebelum ini, iaitu diesel itu bukan diesel Malaysia, sebaliknya milik syarikat antarabangsa yang membeli diesel mentah dari negara lain dan kemudian menyimpannya di Malaysia.

“Sekarang minyak itu dijual ke Australia melalui kontrak antara Viva Energy dan BP Australia (sepertimana disebut dalam laporan berita ini), dan ia disebut ‘dari Malaysia’ kerana kapal berkenaan mengambil minyak yang disimpan di Malaysia,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan segelintir pihak menuduh kerajaan menjual bekalan minyak kepada Australia ketika dunia sedang berdepan krisis bekalan global.

Anwar sebelum ini menegaskan, Malaysia memberi keutamaan kepada keperluan bahan api domestik sebelum membekalkan sebarang lebihan kepada Australia.

Perdana Menteri menjelaskan, menerusi perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese sebelum ini, kedua-dua negara faham dengan masalah keperluan yang dihadapi negara masing-masing.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img