![]()
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini sampai kemuncaknya apabila sebanyak 675,166 pengundi akan melaksanakan misi memilih calon dari parti manakah yang akan menerajui negeri itu selepas 9,417 anggota keselamatan dan pasangan mereka sudah membuat keputusan pada 10 November lalu melalui proses undi awal.
Perkara yang menjadi perhatian adakah pengundi akan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) terus menerajui Melaka dengan Datuk Seri Ab.Rauf kekal sebagai Ketua Menteri atau ‘mengembalikan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari ke jawatan itu dengan memberi kemenangan kepada pakatan tersebut.


Hari ini nasib 79 calon termasuk Ab.Rauf dan Adly akan ditentukan di 240 pusat mengundi di seluruh Melaka yang diuruskan oleh 11,103 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR.
Melalui 1,213 saluran mengundi di 240 pusat mengundi yang dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang itu, pengundi akan membuat penentuan terhadap calon-calon berkenaan yang terdiri darpada 23 calon BN, 24 calon PH, 16 calon Bersama, tujuh calon Bersatu, lima calon Perikatan Nasional (PN) dan tiga calon Bebas.
BN yang disertai oleh UMNO, MCA dan MIC akan bertarung memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi – iaitu jumlah yang sama mereka menangi pada PRN 2021. UMNO akan bertanding di 18 kerusi, MCA (4 kerusi) dan MIC (1 kerusi).
Kali ini BN yang diketuai oleh Ab.Rauf turun ke gelanggang dengan bekerjasama dengan PN. Gabungan itu yang diwakili oleh Pas, Wawasan dan Gerakan akan bertanding lima kerusi iaitu Pas di Paya Rumput dan Bukit Katil, Wawasan di Bemban dan Kesidang manakala Gerakan di Ayer Keroh.
Bagi PH pula, mereka akan bertanding 24 kerusi iaitu PKR (10 kerusi), DAP dan Amanah masing-masing tujuh kerusi.
Bersatu pula bertanding tujuh kerusi dengan misi untuk mengelakkan kekalahan berturut-turut selepas di Johor dan Negeri Sembilan. Di Johor kesemua 16 calonnya hilang deposit manakala di Negeri Sembilan 23 daripada 24 calon parti itu mengalami nasib yang sama termasuk Ketua Penerangannya Tun Faisal Ismail Aziz.
Parti BERSAMA yang diterajui oleh Datuk Rafizi Ramli turun ke gelanggang PRN Melaka ‘untuk memperkenalkan diri’ dan mengelak daripada hilang deposit di 16 kerusi DUN, PUTRA pula bertanding satu kerusi manakala terdapat tiga calon Bebas mencuba nasib.
Sudah pastilah perhatian diberikan kepada beberapa kerusi yang dianggap ‘panas’ dan menyaksikan calon popular bertanding terutamanya di 11 kerusi yang dimenangi oleh BN pada 2021 dengan majoriti undi bawah 1,000 undi termasuk kerusi ditandingi oleh Ab.Rauf iaitu Tanjong Bidara.
Beliau menangi kerusi itu dengan majoriti tipis 364 undi. 10 lagi kerusi ialah Serkam (79 undi), Pengkalan Batu (131 undi), Duyong (200 undi), Gadek (559 undi), Durian Tunggal (559 undi), Paya Rumput (629 undi), Pantai Kundor (827 undi), Rembia (860 undi), Kelebang (876 undi) dan Machap Jaya (938 undi).
Bagaimanapun dalam PRN kali ini untuk DUN Paya Rumput UMNO menyerahkan kepada PN bertanding selepas penyandangnya Datuk Rais Yasin akan bertanding di DUN Sungai Udang yang sebelum ini dimenangi oleh Bersatu.
Pertarungan di Paya Rumput menjadi tumpuan kerana ia menyaksikan Calon PN daripada Pas, Rafie Ahmad akan menentang Calon PH-PKR Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Calon BERSAMA Abdul Rashid Abu Bakar.
Selain Paya Rumput, penyertaan calon PN-Pas di Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif turut menjadi tumpuan apabila beliau akan cuba menamatkan dominasi Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sejak Mei 2018 pada PRN kali ini yang turut menyaksikan pertembungan dengan dua calon lain iaitu Dr.Aliza Che Amran (BERSAMA) dan Abu Bakar Sabudin (BEBAS).





