PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menggesa kerajaan menambah baik dasar industri pembinaan serta mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) bagi mengelakkan kontraktor kecil dan sederhana terus terbeban dengan peningkatan kos operasi.
PKBM dalam kenyataan hari ini berkata, kos pematuhan ABMS yang dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 berpotensi memberi tekanan kewangan kepada kontraktor, khususnya syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan memohon supaya pelaksanaan keperluan pensijilan yang dikaitkan dengan tarikh kuat kuasa 1 Januari 2027 ditangguhkan selama setahun.
Selain itu, PKBM mencadangkan kerajaan memperluas skop Variation of Price (VOP) bagi mengambil kira kenaikan harga bahan binaan, bahan api dan tenaga yang memberi kesan kepada kos pelaksanaan projek.
Persatuan itu turut meminta supaya peruntukan RM7 bilion bagi projek kontraktor Gred G1 hingga G4 diagihkan secara telus menerusi kaedah undian atau sebut harga bagi memastikan peluang penyertaan lebih adil.
“PKBM turut mencadangkan supaya pengagihan projek berkenaan dilaksanakan melalui kaedah undian atau sebut harga bagi memastikan peluang penyertaan kontraktor diberikan secara adil.
“PKBM juga ingin meminta penjelasan berhubung cadangan pengambilalihan pengurusan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” kata kenyataan persatuan itu.
Dalam pada itu, PKBM menggesa pembayaran kemajuan kerja bagi projek kerajaan dilaksanakan mengikut jadual kontrak bagi mengelakkan masalah aliran tunai dalam kalangan kontraktor.
Persatuan itu turut meminta supaya pengagihan kerja oleh pemegang konsesi kepada kontraktor Gred G1 hingga G4 dibuat secara adil, telus dan berdasarkan kelayakan tanpa tertumpu kepada kumpulan tertentu.
Pada masa sama, PKBM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap isu serta cabaran yang dihadapi penggiat industri pembinaan negara.
Persatuan itu turut menghargai kesediaan Perdana Menteri mengadakan sesi libat urus bersama wakil industri sebelum pembentangan Belanjawan 2027, selain pertemuan susulan selepas pembentangan bagi meneliti hasil perbincangan dan cadangan penambahbaikan.
Menurut PKBM, pendekatan itu memberi ruang kepada penggiat industri menyuarakan pandangan secara langsung kepada kerajaan, khususnya berkaitan peningkatan kos operasi, tekanan aliran tunai dan peluang penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek pembangunan negara.
“PKBM berharap hasil sesi libat urus bersama Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dapat diterjemahkan kepada tindakan lebih menyeluruh dan berkesan bagi memperkukuh daya saing serta kemampanan industri pembinaan negara,” katanya.





