Tekong darat ugut anggota PGA dengan parang, sabit ditahan

SEORANG lelaki warga Thailand dipercayai tekong darat yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas mengugut anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menggunakan sabit dalam operasi di Kubang Gadong, Pasir Mas, malam tadi.

Suspek berusia 29 tahun itu antara 13 individu yang ditahan dalam operasi Briged Tenggara PGA kira-kira jam 8 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan PATI di kawasan berkenaan.

Menurutnya, ketika pemantauan dilakukan, pasukan mengesan sekumpulan individu mencurigakan sebelum dua lelaki dipercayai tekong darat menghampiri anggota dengan membawa parang dan sabit.

“Pasukan keselamatan mengacukan senjata api ke arah suspek bagi mempertahankan diri, menyebabkan kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri.

“Susulan itu, pasukan mengejar mereka sebelum berjaya menahan seorang daripada lelaki berkenaan bersama sebilah sabit,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan 12 warga Myanmar terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Siasatan awal mendapati tekong warga Thailand itu menerima upah RM100 bagi setiap PATI yang dibawa masuk dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok sebelum diserahkan kepada kumpulan pengangkut di Kampung Bakong.

“Setiap PATI pula dipercayai dikenakan bayaran sehingga RM5,000 untuk memasuki Malaysia, namun bayaran hanya perlu dijelaskan selepas mereka memperoleh pekerjaan di negara ini,” katanya.

Radzi berkata, perjalanan PATI dari Myanmar ke Malaysia dianggarkan mengambil masa kira-kira tujuh hari melalui laluan darat di Thailand sebelum menyeberangi Sungai Golok.

Pembabitan kumpulan pengangkut di Kampung Bakong juga menunjukkan kemungkinan wujud rangkaian lebih luas yang menguruskan pergerakan PATI selepas mereka melepasi sempadan.

Kesemua 13 individu bersama barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here