Sindiket seludup PATI tawar bayaran ‘BNPL’ selepas dapat kerja

SINDIKET penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan menawarkan kaedah pembayaran secara tertangguh atau ‘buy now pay later’ (BNPL), dengan membenarkan migran melunaskan bayaran selepas memperoleh pekerjaan di Malaysia.

Taktik itu terbongkar susulan penahanan 12 warga Myanmar bersama seorang lelaki warga Thailand dipercayai tekong darat dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Kubang Gadong, Pasir Mas, kira-kira jam 8 malam tadi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, lapan lelaki dan empat wanita warga Myanmar berusia antara 18 hingga 36 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, setiap PATI dikenakan bayaran sehingga RM5,000 seorang, namun pembayaran hanya perlu dibuat selepas mereka berjaya memasuki Malaysia dan mendapatkan pekerjaan.

“Kaedah pembayaran secara tertangguh selepas PATI memperoleh pekerjaan dipercayai menjadi tarikan kepada migran untuk menggunakan khidmat ejen dan berpotensi mewujudkan kebergantungan mereka terhadap sindiket,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tekong darat berusia 29 tahun itu dipercayai menerima upah RM100 bagi setiap PATI yang dibawa dari Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok sebelum diserahkan kepada pihak pengangkutan di sekitar Kampung Bakong.

Katanya, pembabitan pihak pengangkutan di kawasan berkenaan menunjukkan kemungkinan wujud rangkaian yang menguruskan pergerakan PATI selepas mereka menyeberangi sempadan.

Mengulas operasi itu, Ahmad Radzi berkata, pasukan yang menjalankan pemerhatian mengesan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka dipercayai menghampiri anggota sambil memegang parang dan sabit.

“Pasukan bertindak mengacukan senjata api bagi mempertahankan diri sebelum kedua-dua lelaki itu melarikan diri. Pasukan kemudian mengejar mereka dan seorang daripadanya berjaya ditahan bersama sebilah sabit,” katanya.

Pemeriksaan telefon bimbit tekong turut menemukan gambar nombor akaun bank milik seorang wanita. Lelaki itu mengaku akaun berkenaan digunakan ejen dari Thailand bagi urusan pembayaran upah.

Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here