BN belum fikir percepat PRN Pahang, Perak – Ahmad Zahid

BARISAN Nasional (BN) tidak bercadang untuk tergesa-gesa mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Pahang dan Perak meskipun gabungan itu mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berhubung masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya perlu diserahkan kepada ketua kerajaan negeri masing-masing berdasarkan keadaan semasa.

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi (depan tengah) menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, hari ini. GAMBAR: Facebook Zahid Hamidi

Beliau berkata, BN mahu menyelesaikan satu perkara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang langkah berkaitan pilihan raya di negeri lain.

“Kita baru saja selesai di Melaka. Jadi, kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain.

“Saya serahkan kepada ketua menteri atau menteri besar di negeri masing-masing untuk melihat situasinya dan mempersembahkan serta memberikan nasihat kepada Tuanku serta Yang Dipertua Negeri jika perkara itu bersesuaian.

“Tetapi, biarlah kita selesaikan satu per satu dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, hari ini, lapor Bernama.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya PRN turut diadakan di Perak dan Pahang yang ditadbir menerusi kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH).

Mohd Puad dilaporkan mengemukakan cadangan itu susulan kejayaan formula kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan kedua-dua gabungan berkenaan mencatat kemenangan besar pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lalu.

Dalam PRN berkenaan, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala PH memperoleh empat kerusi dan PN tiga kerusi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here