Pelajar didakwa serang guru guna kapak dihantar ke Hospital Sentosa

SEORANG pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mencederakan guru sekolah menengah swasta menggunakan kapak pada 21 Oktober lalu, diperintahkan menjalani pemantauan mental selama sebulan di Hospital Sentosa, Kuching.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah selepas pelajar Tingkatan Empat berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan berkaitan kejadian itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan. Mahkamah menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Bagi pertuduhan pertama, pelajar itu didakwa membawa kapak kecil ke dalam bilik darjah, iaitu senjata berjadual mengikut Butiran 7, Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru wanita berusia 42 tahun menggunakan kapak kecil, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan memiliki bahan letupan, iaitu mercun serta bekas minuman yang diubah suai menjadi bahan letupan sehingga menimbulkan syak wasangka munasabah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik darjah sekolah berkenaan kira-kira jam 7.50 pagi, 21 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan, Raja Zaizul Faridah bersama Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif dan Abdurrahman Abrar, manakala pelajar terbabit diwakili peguam, Wejok Tomik.

Kejadian itu sebelum ini tular di media sosial selepas rakaman memaparkan seorang pelajar menyerang guru menggunakan kapak di dalam bilik darjah tersebar.

Guru berusia 42 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan kiri sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, lapor BH.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here