Malaysia-Laos perkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dua hala meningkat 28.7 peratus

MALAYSIA dan Laos bersetuju memperluas kerjasama dalam beberapa sektor strategik termasuk tenaga boleh baharu, infrastruktur, pengangkutan dan logistik, susulan peningkatan perdagangan dua hala sebanyak 28.7 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat kepada AS$55.9 juta dalam tempoh berkenaan.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Laos, Saleumxay Kommasith di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.

“Pertemuan ini turut menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan dua hala, lebih-lebih lagi ketika Malaysia dan Laos meraikan 60 tahun hubungan diplomatik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan menerusi penerokaan peluang kerjasama dalam sektor berpotensi.

“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan, termasuk dalam bidang tenaga boleh baharu, infrastruktur, pengangkutan dan logistik,” katanya.

Pada pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Saleumxay atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Laos pada bulan lalu.

Bagi memperluas hubungan sedia ada, kedua-dua negara bersetuju mempergiat mekanisme kerjasama dua hala menerusi penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) keempat di Vientiane pada 2027.

“Kami turut bersetuju mempergiat kerjasama melalui penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-4 di Vientiane pada 2027, selain meneruskan usaha memuktamadkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan pelancongan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here