Doktor gigi didenda RM70,000 gaji kakitangan tidak berdaftar jalankan rawatan

SEORANG doktor gigi didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dan membenarkannya menjalankan prosedur pergigian di klinik miliknya, dua tahun lalu.

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Dr Tong Soo Huan, 38, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah mengenakan denda RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi pertuduhan kedua, selain memerintahkan wanita itu dipenjara selama 13 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Soo Huan didakwa menggaji individu yang tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian mengikut Akta Pergigian 2018 di sebuah klinik pergigian di Jalan SS21/1, Petaling Jaya kira-kira jam 12.50 tengah hari, 6 Mei 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 68 Akta Pergigian 2018 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan individu sama yang tidak berdaftar di bawah akta berkenaan menjalankan amalan pergigian di klinik miliknya pada masa dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 69(a) Akta Pergigian 2018 yang turut memperuntukkan hukuman sama, lapor Harian Metro.

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Haznita Zainal Abidin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda berat atas kedua-dua pertuduhan dengan mengambil kira kepentingan awam serta keselamatan pesakit.

Katanya, kesalahan berkenaan bersifat ‘strict liability‘ dan membabitkan integriti profesion pergigian.

“Orang Kena Saman (OKS) bukan sahaja gagal memastikan pengamal pergigian berdaftar bertugas sepanjang waktu operasi klinik, malah dengan sengaja mengarah dan membenarkan kakitangan klinik yang hanya berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalankan amalan pergigian iaitu imbasan intraoral menggunakan alat peranti perubatan khas di premis milik OKS.

“Prosedur imbasan mulut menggunakan alat imbasan intraoral (iTero Element) memerlukan pengendalian berpengetahuan tinggi.

“Berdasarkan keterangan Medical Device Authority, alat berkenaan hanya boleh dikendalikan pengamal perubatan atau pergigian berkelayakan,” katanya.

Dr Haznita berkata, hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi pengajaran kepada OKS serta pengamal pergigian lain supaya tidak mengambil jalan mudah mengurangkan kos operasi sehingga mengabaikan peruntukan undang-undang dan keselamatan pesakit.

Sementara itu, peguam bela Rejinder Singh memohon mahkamah mengenakan denda lebih ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tidak pernah mempunyai rekod kesalahan mengikut Akta Pergigian 2018.

“Kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan teknikal dan tiada unsur jenayah kerana ketika kejadian, seorang pesakit datang mendapatkan rawatan ketika Dr Soo Huan sedang keluar makan.

“Bagaimanapun, OKS sedar mengenai tindakannya dan kesal kerana tidak lebih berwaspada dalam mengawal kakitangan klinik serta berjanji memastikan sistem kawalan lebih ketat selepas ini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan pemeriksaan di klinik berkenaan pada 6 Mei 2024.

Pemeriksaan mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi seorang pesakit menggunakan peralatan pengimbas intraoral iTero Element.

Bagaimanapun, semakan mendapati kakitangan itu tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) sebagai pengamal pergigian, manakala Dr Soo Huan gagal mengemukakan sijil pengamalan tahunan individu berkenaan ketika diminta pegawai penguat kuasa.

Siasatan lanjut mendapati Dr Soo Huan menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian dan membenarkannya menjalankan prosedur berkenaan di klinik miliknya, sekali gus membawa kepada dua pertuduhan di bawah Akta Pergigian 2018.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here