ISTANA Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali berkata Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, yang dimuat naik di media sosial, 10 malam tadi.
Berikut kenyataan penuh Pengelola Bijaya Diraja:
Istana Negeri Sembilan mengambil maklum akan kenyataan YB Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional berhubung peletakan jawatan YAB Dato’ Ismail bin Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan tersebut dimuat naik di media sosial pada pukul 10.00 malam, 16 November, dan kelihatan berdasarkan salinan surat peletakan jawatan yang berada dalam milikan beliau.
Di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan oleh Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dan hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Ke Bawah Duli Tuanku.
Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada pukul 12.16 pagi, 17 November. Surat itu diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Adalah dimaklumkan selanjutnya bahawa Setiausaha Sulit telah menyampaikan kepada Dato’ Ismail bin Lasim melalui WhatsApp, pada pukul 8.38 malam, perkenan untuk beliau menghadap sebagaimana yang dipohon, dan perkara ini telah diakui terima oleh beliau.
Mengadap tersebut ditetapkan pada pukul 10.00 pagi, hari Jumaat, 20 November 2026. Perkenan menghadap tersebut telah diberikan lebih awal 80 minit sebelum siaran YB Dato’ Seri Zambry di akaun Facebook beliau yang memaklumkan peletakan jawatan itu.
Pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut YB Dato’ Seri Zambry telah ditandatangani oleh Dato’ Ismail bin Lasim.





