POLIS sedang menyiasat dakwaan mengenai kewujudan organisasi jenayah terancang dari Nigeria, De Norsemen Kclub International (DNKI) atau lebih dikenali sebagai Vikings, yang dipercayai mempunyai rangkaian kegiatan di Malaysia.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi memastikan kesahihan maklumat berkenaan.
“Untuk makluman, pihak kami masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Dakwaan mengenai kegiatan kumpulan itu mula mendapat perhatian selepas satu hantaran di media sosial mendakwa organisasi berkenaan sudah bertapak di negara ini.
Hantaran sama turut mendakwa terdapat individu yang memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut sebagai anggota kumpulan berkenaan.
Malah, kegiatan mereka turut dikaitkan dengan beberapa aktiviti mencurigakan termasuk perhimpunan yang memaparkan logo serta simbol dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi terbabit.
Bagaimanapun, kesahihan dakwaan berkenaan masih belum disahkan pihak berkuasa dan siasatan polis sedang dijalankan.





