SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas dua pertuduhan, termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun serta memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Tertuduh, Mohamad Shahrul Nizam Abdul Rahman, 20, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan di kawasan kebun di Segamat, antara Julai hingga Ogos tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak berupa video dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Segamat, kira-kira jam 1 pagi, 5 November lalu, lapor BH.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat melapor diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan.
Tertuduh turut dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa, ahli keluarganya serta saksi pendakwaan lain.





