DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan, Datuk Ismail Lasim meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dibuat atas kerelaan sendiri tanpa sebarang arahan khusus daripada UMNO
Sehubungan itu Presiden UMNO tersebut berkata, tidak timbul isu peletakan jawatan Ismail diarahkan UMNO sebaliknya ia dibuat sendiri oleh pemimpin berkenaan.
“Beliau tidak memberikan alasan, mungkin atas rasa dan kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri Majlis Peluncuran Putrajaya FOI 2026 di Putrajaya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepadanya sebelum diutuskan kepada pihak istana mengikut kaedah dan tatacara adat yang betul.
Semalam, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengumumkan Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, pihak istana hari ini memaklumkan kesahihan surat peletakan jawatan Ismail masih belum disahkan. Peletakan jawatan itu juga hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

Ismail, 67, yang juga ADUN Juasseh dijadual menghadap Tuanku Muhriz Jumaat ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan hanya satu nama dikemukakan setakat ini bagi jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, katanya sebarang pengumuman rasmi berhubung pelantikan itu hanya akan dibuat oleh pihak istana atau Yang Dipertuan Besar.
“Dan terserahlah kepada Tuanku untuk memberikan perkenan terhadap nama yang telah saya kemukakan. Jika nama itu diterima, hanya Kebawah Duli Tuanku dan pihak istana sahaja yang boleh mengumumkannya,” katanya.
Zahid turut berharap kemelut di Negeri Sembilan dapat diselesaikan dengan baik dan sempurna selepas proses perkenan pemilihan menteri besar baharu selesai.
SEMENTARA itu, Ismail memilih untuk tidak bertemu dengan media bagi menjawab segala persoalan yang berlegar berikutan tindakan beliau meletak jawatan.
“Terima kasih. Tak usah cari saya untuk beberapa hari ini,” kata Ismail kepada media hari ini.
Sebelum itu, Ismail memberitahu tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan dikeluarkan terkait perkembangan semasa yang melatari Negeri Sembilan sekarang.





