Mengamuk bawa parang, pemilik bengkel kereta dipenjara lima tahun

PEMILIK bengkel kereta yang mengamuk sambil membawa parang di sebuah bengkel motosikal di Wangsa Maju, Sabtu lalu, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hukuman terhadap Lim Kok Yong, 36, diputuskan Hakim Dr Azrol Abdullah selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya tanpa kebenaran mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan kelmarin. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Heng Yi Min atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan empat motosikal pelanggan, pintu pejabat bengkel dan sistem kad akses menggunakan parang serta dua tukul besi.

Perbuatan itu menyebabkan kerugian melebihi RM3,000 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh dikenakan denda RM3,500 atau penjara setahun jika gagal membayar denda, lapor BH.

Kedua-dua kesalahan dilakukan kira-kira jam 11.15 malam di V Good Motor Sdn Bhd, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju.

Mahkamah diberitahu, pemilik bengkel motosikal itu dimaklumkan pekerjanya mengenai kehadiran tertuduh yang membawa sebilah parang dan dua tukul besi ke premis berkenaan.

Tertuduh turut mengugut untuk membakar semua motosikal di dalam bengkel sehingga menyebabkan pemilik premis dan pekerjanya bimbang terhadap keselamatan mereka.

Ketika prosiding, peguam, Erickka Farisse Amir memohon hukuman penjara ringan dengan alasan anak guamnya mahu mengambil iktibar daripada perbuatan itu dan bertaubat.

Beliau berkata, tertuduh mengalami tekanan berikutan perniagaannya yang semakin merosot dan beroperasi dalam keadaan rugi sejak beberapa bulan lalu, selain tidak lagi mampu menyara keluarganya termasuk ibu bapanya yang sudah berusia.

Menurutnya, hukuman penjara panjang dikhuatiri mendedahkan anak guamnya kepada pengaruh buruk sehingga boleh menjadikannya penjenayah tegar, selain tertuduh berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir dan Iman Nurhidayah Ezani memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran.

Erickka berkata, anak guamnya akan dihantar ke Penjara Kajang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here