‘’Ini terjadi kerana Macron, kalau tidak, mungkin tidak dapat dilakukan.” – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Presiden Perancis Emmanuel Macron kerana melayan Malaysia sebagai rakan kongsi yang setaraf serta mendengar dengan teliti kebimbangan negara berhubung hal ehwal antarabangsa.

Anwar berkata Presiden Perancis itu telah meneliti isu-isu yang dibangkitkan dan memberikan maklum balas termasuk menerusi perbualan di WhatsApp iaitu satu pendekatan yang amat dihargai Perdana Menteri.

“Saya sering menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap pendirian beliau dalam hal ehwal antarabangsa, cara beliau mendengar dengan teliti beberapa kebimbangan kami, serta menganggap kami sebagai pihak yang setaraf,” katanya pada sidang media bersama Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur hari ini.

Menyifatkan Macron sebagai sahabat peribadi dan rakan sejawat yang dipercayai, yang bersedia berkongsi pandangan mengenai perkembangan di Eropah serta hal ehwal antarabangsa, Anwar berkata: “Saya telah memaklumkan kepada rakan-rakan dalam Kabinet betapa saya menghargai persahabatan ini.”

Anwar berkata keputusannya untuk berulang-alik dari Manila semata-mata bagi menyambut Macron mencerminkan betapa pentingnya hubungan Malaysia dengan Perancis serta presidennya, sambil menambah: “Ini terjadi kerana Macron, kalau tidak, mungkin tidak dapat dilakukan.”

Anwar seterusnya berkata ini merupakan kali pertama pertemuan dua hala dengan seorang ketua kerajaan diadakan di Bangunan Sultan Abdul Samad.

Perdana Menteri melahirkan harapan agar pertemuan bersejarah di bangunan itu mencerminkan persefahaman mendalam dan persahabatan antara kedua-dua negara.

Berhubung mineral penting, Anwar berkata negara tidak mengeksport bahan mentah, sambil mengetengahkan komitmen Perancis untuk menjalankan pemprosesan dan bekerjasama dengan pihak Malaysia sebagai satu pasukan.

Beliau turut menekankan kepentingan pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama tersebut serta saling membantu.

“Negara-negara telah mencapai kemerdekaan sejak berdekad lalu, oleh itu mereka perlu menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam aspek pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan latihan, supaya kita dapat memperoleh faedah serta saling membantu,” katanya.

Anwar menyatakan rasa puas hati beliau terhadap perkembangan baik kerjasama dalam bidang tersebut.

Perdana Menteri turut menggalakkan Macron untuk terus berkongsi tradisi Perancis dalam bidang ilmu pengetahuan, seni dan sastera dengan dunia, sambil menyatakan bahawa Malaysia terbuka terhadap pertukaran seperti itu.

Menyentuh mengenai jutaan orang yang turun ke jalanan di Perancis untuk memberi penghormatan kepada tokoh sasterawan Victor Hugo pada pengebumiannya, Anwar berkata penghormatan itu mencerminkan penghargaan yang berakar umbi terhadap kesarjanaan dan sastera, sambil menambah: “Ia sesuatu (yang ada) dalam budaya, dalam seni, dalam kecintaan terhadap keilmuan dan sastera.”

Anwar berkata beliau telah menekankan contoh itu kepada pelajar dan rakan sekerja di Kementerian Pendidikan sebagai tradisi budaya yang patut dicontohi.

Beliau berkata Malaysia telah menterjemah karya penulis dan pemikir Perancis, termasuk Guy de Maupassant, Montesquieu dan Rousseau, untuk membolehkan rakyat Malaysia berkongsi warisan intelektual tersebut.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata pertemuan berkenaan melakar satu lagi pencapaian penting menerusi peningkatan hubungan Malaysia-Perancis kepada Perkongsian Strategik, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun hadapan.

Beliau yakin persahabatan yang sekian lama terjalin akan terus diperkukuh sekali gus membawa manfaat nyata untuk rakyat serta menyumbang kepada kesejahteraan kedua-dua negara.

Macron tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari atas jemputan Anwar iaitu kunjungan kali  pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Mei 2017.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here