Penyimpanan stok petroleum perlu secara sukarela, pertimbangan komersial – Anwar

MALAYSIA mengiktiraf kepentingan penyimpanan stok petroleum dalam memperkukuh daya tahan tenaga serantau, namun sebarang pengaturan berkaitan perlu dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan pertimbangan komersial, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebarang pengaturan sedemikian perlu dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan pertimbangan komersial, dengan mengambil kira keadaan, keutamaan serta tahap kesiapsiagaan domestik setiap negara anggota,” katanya dalam Kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) di Manila hari ini.

Kenyataan negara itu disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi pihak Anwar yang telah pulang ke tanah air untuk menerima kunjungan rasmi Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Malaysia.

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan usaha penyahkarbonan dilaksanakan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan tenaga.

Beliau berkata Malaysia kekal teguh dengan sasaran mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyediakan landasan yang jelas dan pragmatik bagi menjayakan peralihan itu.

Perdana Menteri berkata teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) merupakan komponen utama strategi penyahkarbonan Malaysia, dengan kedudukan strategik negara berpotensi menjadikannya hab serantau dalam bidang berkenaan.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memajukan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN.

“Memperkukuh kesalinghubungan grid elektrik rentas sempadan amat penting bagi memaksimumkan penggunaan tenaga boleh baharu di peringkat serantau, mengoptimumkan kestabilan grid serta menggalakkan perdagangan tenaga antara subrantau,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia bersedia memainkan peranan sebagai rakan kerjasama boleh dipercayai, destinasi pelaburan hijau serta penyumbang aktif kepada penyelesaian isu iklim serantau.

“Kita berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua negara anggota bagi menterjemahkan visi bersama kepada hasil nyata,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here