PROGRAM Asas Keusahawanan Koperasi 2025 (AKSI’25) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus menjadi platform penting dalam membangunkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara.
Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, AKSI’25 bukan sekadar program pertandingan, sebaliknya usaha berterusan untuk melahirkan generasi muda celik keusahawanan dan berupaya menerajui koperasi sekolah secara berdaya saing.
Katanya, melalui penyertaan aktif dalam koperasi sekolah, para pelajar bukan sahaja mendapat pendedahan awal terhadap dunia perniagaan dan pengurusan organisasi, malah berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan, kreativiti, inovasi serta semangat kerja berpasukan.

“Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk belajar mengurus, membuat keputusan dan memahami nilai integriti dalam organisasi koperasi. Ia adalah latihan kepimpinan sebenar yang dapat membentuk pelapis kepada gerakan koperasi negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan AKSI’25 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, Ahad lalu.
Ahmad Norihan berkata, AKSI’25 merupakan kesinambungan kepada beberapa inisiatif terdahulu seperti Program Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah (PPKKS) yang diperkenalkan pada tahun 2008 dan Konvensyen Young Entrepreneurs Strive for Success (YESS) pada tahun 2017.
‘’Penganjuran AKSI sejak tahun 2024 dilihat selaras dengan matlamat Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM2030) yang memberi penekanan terhadap pembangunan generasi baharu pemimpin koperasi.
‘’ DaKoM2030, yang diluncurkan pada Oktober 2023, menjadi panduan utama ke arah memperkukuh sumbangan sektor koperasi terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial negara,’’ katanya.
Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak 2,508 koperasi sekolah berdaftar dengan keanggotaan melebihi 2 juta pelajar di seluruh negara.
‘’Koperasi sekolah mencatatkan syer bernilai RM30.67 juta, aset berjumlah RM508.42 juta, dan perolehan tahunan sebanyak RM532 juta, sekali gus membuktikan potensi besar sektor ini dalam menyemai budaya keusahawanan sejak di bangku sekolah,’’ katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru pembimbing, panel juri serta agensi rakan strategik seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corporation Malaysia dan Bank Rakyat atas komitmen menjayakan program ini.
“Kejayaan AKSI’25 menunjukkan bahawa koperasi sekolah bukan sahaja medan pembelajaran, tetapi juga ruang sebenar bagi pelajar memahami nilai tanggungjawab, kerjasama dan kepimpinan. Inilah asas kepada pembentukan masyarakat koperasi yang progresif dan mampan,” katanya.
AKSI’25 menyaksikan Koperasi Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah Perlis Berhad telah dinobatkan sebagai koperasi terbaik dan memenangi Anugerah Projek Terbaik Peringkat Kebangsaan.
Tempat kedua dimenangi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Riam Miri Berhad manakala Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad Seremban Berhad memenangi tempat ketiga.
Sementara itu, Encik Willie Lee Bui Wei dari SMK Riam, Miri telah dipilih sebagai Guru Pembimbing Terbaik manakala pelajar MRSM Mersing, Muhammad Iman Mahya telah dipilih sebagai Pengurus Terbaik.
Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi Koperasi SMK Dato’ Sheikh Ahmad Seremban dan Koperasi SMK Desa Kencana, Lahad Datu telah merangkul anugerah Reruai Terbaik.


